Ahad, 11 Oktober 2015






Habbatus Sauda ialah sejenis tumbuhan yang banyak didapati di kawasan Mediterranean dan dikawasan yang beriklim gurun. Banyak kajian telah dijalankan. Bagaimanapun kebanyakannya ditulis di dalam Bahasa Arab, oleh itu pendedahan terhadap dunia antarabangsa tidak banyak dibuat mengenai kelebihan dan khasiat habbatus sauda ini.


Habbatus Sauda digunakan secara tradisional untuk beberapa keadaan dan mempunyai banyak kelebihan seperti untuk menghasilkan kulit muka yang cerah, membantu merawat batuk dan asma, kencing manis, selsema, keguguran rambut, tekanan darah tinggi, masalah untuk tidur, sakit-sakit otot dan sendi, rasa loya dan muntah, mengurangkan kolesterol, merawat batu karang dan sebagainya.




CIRI-CIRI UTAMA HABBATUSSAUDA

1. Nilai pemakanan dari Habbatus Sauda


Habbatus Sauda kaya dengan:


  • monosaccharide glukosa, xylosa dsb.
  • polysaccharide
  • fatty acid yang tidak tepu (unsaturated essential fatty acids, EFA). 
  • EFA tidak boleh dihasilkan oleh badan kita, oleh itu sumber utamanya ialah dari pemakanan amino acid yang membentuk protein karotene iaitu sumber vitamin A kalsium, zat besi, dsb.


2. Sistem imunisasi daripada Habbatus Sauda
Kajian yang dilakukan di Arab Saudi mendapati, habbatus Sauda berupaya meningkatkan sistem imunisasi anda (daya melawan penyakit). Oleh itu ia mungkin penting dalam pengawalan kanser, AIDS dan penyakit-penyakit berkaitan yang lain.


3. Anti-histamine
Histamine ialah bahan yang dikeluarkan oleh sel-sel mast di dalam badan yang menyebabkan kesan-kesan allergik (alahan). Habbatus Sauda mengandungi bahan yang menghalang protein kinase C, sejenis bahan yang mencetus penghasilan histamine.


Oleh kerana penghidap penyakit asma selalunya mengalami masalah alahan, habbatus Sauda mungkin baik diambil secara berterusan oleh pesakit-pesakit ini.

4. Anti-tumor
Kajian in vitro mendapati habbatus Sauda berupaya menghalang pembentukan sel-sel tumor. Oleh itu, ia baik untuk digunakan untuk membantu menghalang penyakit kanser.


5. Anti-bakteria
Penyelidikan ke atas bahan ini mendapati ia mempunyai aktiviti anti-bakteria. Habbatus Sauda didapati berupaya mengawal bakteria seperti E.coli, V.cholera dan spesies Shigella. Ini bermakna habbatus Sauda baik untuk mereka yang menghidapi beberapa jenis penyakit seperti cirit-birit dan masalah-masalah perut yang lain.


6. Anti-radang (anti-inflammation)
Habbatus Sauda didapati boleh mengurangkan radang (bengkak). Oleh itu ia baik untuk pesakit asma (mengurangkan radang dalam paru-paru), eczema (alahan yang menyebabkan gatal, kulit merah dsb.) dan arthritis (bengkak sendi).


7. Menggalakkan pengeluaran susu
Kombinasi lemak dan hormon yang didapati di dalam habbatus Sauda menyebabkan pengeluaran susu ibu yang menyusukan bayi bertambah.




Nabi Muhammad S.A.W. bersabda dalam Hadithnya yang dikutip dari kitab Ash Shahihain:

”Gunakanlah Habbatus Sauda’ kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat dari segala jenis macam penyakit kecuali As Sam (maut)” (HR.Bukhari, Muslim)

Antara bahan-bahan kandungan Habbatus Sauda ialah Fixed Oil (saturated dan unsaturated), Minyak-minyak Asas (sterol, thymohydroquinone, carvone, limonine, cymene), Alkaloids, Saponin dan Asid Amino.

Dalam kitab Al Tibb An-Nabawi (Pengobatan Cara Nabi) yang ditulis Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, Habbatus Sauda’ dikenal juga sebagai Al Habbah Al Barokah. Dalam kitab tersebut disebutkan bahwa Habbatussauda dapat mengubati 50 macam penyakit tanpa kesan sampingan.

Suatu ulasan ilmu kedoktoran menampilkan bahawa kandungan Habbatus Sauda antara lain:

1. Antiinflamasi, mengubati perih radang tenggorokan.
2. Antiarthritis, mengubati reumatik.
3. Analgesik, mengubati sakit gigi dan
4. Aktivitas hormon, mengatur haid dan meningkatkan aliran susu.
5. Antiseptik, mengubati bau mulut.
6. Antivirus, mengubati demam dan flu.
7. Dermatologi, mengubati jerawat dan eksim.
8. Urinary tract , mengubati saluran kemih dan batu ginjal.
9. Sistem kekebalan, meningkatkan daya tahan tubuh untuk menangkal penyakit.
10. Gastrointestinal tract , mengubati mabuk, diare, kejang konstipasi, dan empedu.
11. Sistem sirkulasi, meningkatkan kinerja jantung.
12. Nematocidal, mengubati cacing pita.
13. Respiratory tract , mengubati sesak nafas (asma).

Selasa, 1 September 2015

ERTI SEBENAR KEMERDEKAAN

Apabila menyentuh mengenai kemerdekaan dari sudut ekonomi, politik dan sosial, ia pastinya berbalik kepada persoalan tunjang yakni sikap dan tingkahlaku yang terlebih dahulu perlu dimerdekakan. Ini kerana, apalah ertinya kita berada dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat sekiranya sikap dan tingkahlaku kita masih lagi dibelenggu dan dijajah oleh sifat-sifat mazmumah yang pastinya sekali gus boleh merencatkan proses pembangunan sosial, ekonomi dan politik yang sewajarnya seiring dengan kerangka Malaysia sebagai sebuah negara Islam. 

Seharusnya, setelah berdekad-dekad lamanya negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan, pemikiran dan tingkahlaku kita juga perlulah jauh lebih merdeka dan terkehadapan selari dengan tempoh merdekanya negara daripada cengkaman penjajah. Namun, malangnya didapati pemikiran, sikap dan tingkahlaku segelintir kita pada hari ini masih lagi belum mencapai kemerdekaan dalam erti kata sebenar yakni berpaksikan acuan sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. 

Buktinya, kita masih lagi terkepung dengan pelbagai masalah sosial seperti perzinaan, pembuangan bayi, penagihan dadah, peningkatan kadar jenayah dan sebagainya sehingga ia dilihat sedikit sebanyak mencalarkan imej negara sebagai sebuah negara merdeka yang sewajarnya juga bebas daripada permasalahan-permasalahan sosial seumpama ini. 

Mengapakah situasi sedemikian berlaku? Adakah program-program yang dianjurkan semasa sambutan hari kemerdekaan selama ini gagal membentuk perilaku yang positif dalam diri setiap anggota masyarakat terutamanya golongan muda kita pada hari ini yang seharusnya menjadi pelapis yang berguna kepada agama, bangsa dan juga negara pada masa hadapan? 

Jika benar ianya gagal, maka seharusnya transformasi perlu dilakukan agar program-program semasa sambutan hari kemerdekaan yang dianjurkan pada tahun ini dapat memberi manfaat yang maksimum kepada rata-rata kita khasnya dalam menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar-benarnya dan tidak terpesong daripada landasan sebagaimana yang telah ditekankan dalam syariat Islam.

Justeru, bagaimana sambutan hari kemerdekaan perlu disambut sewajarnya diperhalusi kembali agar setiap pengisian sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini dan pada masa-masa yang akan datang lebih menepati roh Islam.  Jika selama ini, acara sambutan hari kemerdekaan banyak didominasikan oleh konsert-konsert yang melalaikan sehingga boleh mengundang kepada perlakuan-perlakuan yang tidak sihat dan sumbang, maka ia perlu digantikan dengan acara-acara yang lebih bermanfaat seperti program-program bercorak keagamaan dan kerohanian agar sifat-sifat mahmudah dapat diterap dan ditanamkan ke dalam diri setiap lapisan anggota masyarakat.  

Lebih malang lagi, jika sebaik sahaja tamatnya sesuatu acara sambutan hari kemerdekaan, ia diteruskan pula dengan sambutan secara individu atau berkumpulan terutamanya oleh segelintir muda-mudi yang ternyata masih mentah dalam memahami makna sebenar sebuah kemerdekaan dengan menganjurkan parti-parti liar yang boleh menjerumuskan mereka kepada kemaksiatan dan pelbagai pengaruh buruk yang lain. Ia pastinya tersasar daripada matlamat sebenar sambutan hari kemerdekaan yakni agar rata-rata rakyat Malaysia menghayati hari bersejarah tersebut dalam konteks pengertian yang sebenar.

Apatah lagi jika program-program yang dianjurkan juga turut menyumbang kepada berlakunya permasalahan lain seperti pencemaran akibat daripada pembuangan sampah sarap seperti pembungkus atau pembalut makanan, tin-tin dan kotak minuman di merata-rata tempat semasa sesuatu konsert sedang berlangsung. Ia sudah tentu akan mencacatkan pemandangan setelah selesainya acara berkenaan dan kos yang besar perlu diperuntukkan  bagi mengupah pihak-pihak tertentu untuk membersihkan semula kawasan-kawasan yang terlibat. Tidakkah ia sedikit sebanyak merugikan negara apabila terpaksa mengeluarkan kos semata-mata untuk tujuan tersebut yang sepatutnya boleh diuruskan tanpa sebarang kos jika rata-rata rakyatnya mempunyai sikap dan jiwa merdeka dalam erti kata yang sebenar.  

Mungkin ia akan berlaku sebaliknya jika acara sambutan hari kemerdekaan diisi dengan program-program berbentuk ilmiah dan kerohanian. Umpamanya pelbagai masalah sosial dan pencemaran akan lebih terkawal dan dapat diminimumkan. Ini kerana, ironinya program-program seumpama itu sendiri secara tidak langsung dapat menghindarkan daripada sebarang bentuk kelalaian serta mampu mendidik sikap dan tingkahlaku setiap anggota masyarakat untuk lebih beretika dalam setiap tindak-tanduk sepanjang program berlangsung. 

Selain itu, kita juga dapat difahamkan dengan konsep kemerdekaan yang sebenar dan tidak hanya terhad kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Sebaliknya ia turut dapat diperluas dan diaplikasikan dalam pelbagai aspek lain dan tidak terkecuali juga dari segi tingkahlaku terhadap alam sekitar. Apabila tingkahlaku yang baik terhadap alam sekitar dapat dibentuk, maka pastilah alam sekitar juga akan selamat dan merdeka daripada sebarang bentuk ancaman kemusnahan. Justeru, sudah tiba masanya setiap pihak melakukan transformasi dalam pemilihan acara sempena sambutan hari kemerdekaan agar erti kemerdekaan dapat difahami dengan sebaik-baiknya bukan sahaja oleh generasi lama tetapi juga oleh generasi baru. 

Mudah-mudahan dengan transformasi yang dilakukan kelak, ia diharap dapat merobah persepsi salah terutamanya dalam kalangan muda-mudi kita berhubung pengertian sebenar kemerdekaan. Mereka seharusnya dicelikkan bahawa kemerdekaan bukan sahaja tertumpu kepada kebebasan negara daripada cengkaman penjajah semata-mata. Sebaliknya, kemerdekaan dari sudut pemikiran, sikap dan tingkahlaku mereka daripada sebarang bentuk sifat-sifat yang boleh menghakis nilai-nilai murni dan jati diri sebagai seorang Muslim yang perlu diberi perhatian dan keutamaan.